Tun Musa terima kunjungan Ketua Pengarah Kastam baharu

KOTA KINABALU : Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang baharu, Datuk Amran Ahmad. 


Menurut Amran, kunjungan tersebut bertujuan untuk memperkenalkan diri sebagai Ketua Pengarah JKDM yang baharu berkuatkuasa 9 Mac lepas menggantikan Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).


“Selain memperkenalkan diri, kunjungan ini juga adalah bagi memaklumkan Tun Musa akan perkembangan JKDM, khususnya cawangan Sabah berikutan dengan beberapa perkara yang telah kita laksanakan, terutamanya penguatkuasaan dan sebagainya.


“Antara tugas JKDM adalah mengutip hasil kerajaan selain menguatkuasakan peraturan dan undang-undang berkaitan Akta Kastam untuk mencegah penyeludupan dan mengawal kemasukan bahan-bahan terlarang.


“JKDM juga bekerjasama rapat dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) untuk menguatkuasakan undang-undang, membuat pemeriksaan pintu-pintu masuk negara dan negeri,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat berkenaan di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis. Menurut Amran, kunjungan tersebut juga bertujuan memaklumkan persaraan wajib Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr. Ahmad Taufik, berkuatkuasa Khamis.