Lima pelajar cemerlang terima Biasiswa Anugerah Cemerlang TYT

KOTA KINABALU : Seramai lima pelajar cemerlang terpilih menerima Biasiswa Anugerah Cemerlang Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Kelima-lima penerima bakal melanjutkan pelajaran ke Northumbria University, United Kingdom dan akan berlepas pada 19 September depan. 


Penyampaian biasiswa berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis. 


Sementara itu, penerima termuda, Nixon Liew Yan Chern, 17, berkata, biasiswa tersebut bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan tetapi juga menjadi pendorong untuk mencapai impiannya yang bercita-cita untuk menjadi seorang Jurutera Kimia. 


“Saya berharap saya dapat menggunakan ilmu saya bagi pembangunan negara di masa akan datang,” ujarnya. 


Seorang lagi penerima berasal dari Tuaran, Nur Sazrina Nester menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas peluang yang diberikan. 
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah dan selepas ini saya mahu berbakti kepada negeri Sabah sebagai menghargai dan membalas jasa atas peluang yang diberikan,” katanya. 


Selain Nixon dan Nur Sazrina, tiga lagi penerima lain ialah Aidryn Syinta Aidi, Garry Gelvint Hendry dan Ivan Dominic Rainol. 


Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Norlijah Danin, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Ramlan Awang Ali dan Pengarah Bahagian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Emas Sanjongan Datu Okar.