KOTA BELUD: Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan selepas polis merampas 53.37 gram dadah disyaki syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Wokok Kinuta, Jalan Sorob, di sini pada Rabu lalu.
Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Belud kira-kira jam 12.15 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Khairul Shah Peri berkata, hasil pemeriksaan di lokasi menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.
Menurutnya, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,337 berdasarkan nilai pasaran semasa.
“Suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan mengedar dadah.
Katanya, kejayaan rampasan itu membuktikan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, khususnya yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
“Orang ramai diseru supaya tidak berdiam diri dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan atau pengedaran dadah kepada pihak berkuasa.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu polis membanteras kegiatan dadah, sekali gus memastikan persekitaran komuniti sentiasa selamat dan bebas daripada ancaman gejala berkenaan,” katanya.