TAWAU: Tiga daerah di Sabah merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan negeri itu.
Berdasarkan infografik Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Tawau mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu antara 151 hingga 153, diikuti Semporna (143) dan Kota Kinabalu (122) setakat jam 2 petang semalam.
Ketiga-tiga daerah terbabit berada dalam kategori tidak sihat, iaitu bacaan IPU antara 101 hingga 200.

Sementara itu, tujuh daerah lain merekodkan bacaan dalam kategori sederhana dengan Kunak mencatat bacaan tertinggi iaitu 99, diikuti Keningau (93), Sandakan (73), Lahad Datu (68), Kudat (62), Beaufort (60) dan Kota Marudu (55).
Tiga daerah pula berada dalam kategori baik iaitu Ranau dengan bacaan 50, Tenom (45) dan Tambunan (42).
Menurut JAS Sabah, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, terutama kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Mereka yang perlu keluar rumah juga disaran memakai pelitup muka, selain memastikan pengudaraan yang baik di dalam rumah atau bangunan.