TAWAU: Seorang lelaki dihukum penjara selepas mengaku bersalah memiliki seekor beruk dan tenggiling yang dilindungi tanpa kebenaran sah di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini.
Jufrie Abu, 42, warganegara Malaysia, dijatuhi hukuman penjara 36 bulan bagi pertuduhan memiliki tenggiling dan 24 bulan bagi pertuduhan memiliki beruk.
Bagaimanapun, kedua-dua hukuman berkenaan diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah, Primus Lambut.
Berdasarkan kenyataan Jabatan Hidupan Liar Sabah, kesalahan itu berlaku pada 10 Jun lalu kira-kira jam 11 malam di Kampung Kalumpang, Jalan Tawau-Semporna, Semporna.
Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh memiliki seekor beruk daripada spesies Macaca nemestrina dan seekor tenggiling (Manis javanica).
Kedua-dua spesies itu dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan pemilikan tanpa kebenaran sah adalah satu kesalahan.
Jabatan Hidupan Liar Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang memiliki atau mengendalikan hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak memiliki atau memperdagangkan hidupan liar dilindungi secara haram, selain menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan berkenaan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah.