KOTA KINABALU: Lebih 100 pelajar cemerlang dari Sabah menerima tajaan pendidikan menerusi Program Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu 2026, hari ini.
Para penerima dipilih menerusi proses penilaian yang ketat dan kompetitif dengan mengambil kira kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan serta penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum.
Naib Presiden Kanan PETRONAS, Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir Bacho Pilong berkata, PETRONAS berharap para penerima tajaan memanfaatkan peluang berkenaan sebaik-baiknya untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing sebelum kembali menyumbang kepada Sabah dan Malaysia.
“Setiap pelajar yang diraikan hari ini membawa harapan dan aspirasi keluarga, komuniti serta negeri ini.
“Kami berharap anda semua akan memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya, mencapai kecemerlangan dalam bidang pilihan masing-masing dan pada suatu hari nanti memberikan sumbangan bermakna kepada Sabah serta Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Majlis penyampaian anugerah tajaan itu turut disempurnakan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Tajaan berkenaan membolehkan lepasan SPM 2025 melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, sains data dan psikologi di Universiti Teknologi PETRONAS serta institusi pengajian tinggi terkemuka di Malaysia, United Kingdom dan Kanada.
Dalam majlis sama, 22 pelatih baharu turut menerima tajaan bagi mengikuti program Diploma Instrumentasi Perindustrian dan Sistem Kawalan di Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC).
Program itu dilihat memperkukuh laluan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang selari dengan keperluan industri, khususnya dalam sektor minyak dan gas.
Sementara itu, PETRONAS turut menyampaikan Biasiswa Kecil PETRONAS kepada 25 pelajar sekolah menengah Sabah bagi pengambilan sesi 2026/2027.
Inisiatif yang diperkenalkan sejak 2023 menerusi kerjasama PETRONAS Floating LNG, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Yayasan Sabah itu sehingga kini memberi manfaat kepada kira-kira 140 pelajar di seluruh negeri.
Menariknya, sembilan penerima tajaan pendidikan PETRONAS tahun ini merupakan bekas penerima Biasiswa Kecil PETRONAS ketika di peringkat sekolah menengah.
Perkembangan itu memperlihatkan kesinambungan sokongan pendidikan PETRONAS kepada anak Sabah, daripada peringkat persekolahan sehingga melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Sejak 1975, lebih 40,000 pelajar di seluruh negara menerima manfaat daripada program tajaan pendidikan PETRONAS.
Di Sabah, PETRONAS turut meneruskan pelbagai inisiatif pendidikan, pembangunan bakat dan latihan kemahiran dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan serta kemahiran bagi menghadapi keperluan ekonomi masa depan.