PDRM komited banteras sindiket penyeludupan, pengedaran dadah

KOTA KINABALU : Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah terus memberi perhatian terhadap usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis, Datuk Jauteh Dikun berkata, PDRM akan terus berusaha menangani kemasukan dadah ke negeri Sabah sekali gus mengelakkan negeri ini dijadikan transit sindiket pengedaran dadah.

“PDRM akan terus berusaha membanteras kemasukan dadah ke Sabah, manakala rampasan yang dilakukan setakat ini turut membuktikan hasil kerjasama dengan agensi-agensi lain.

“Kita mengharapkan pihak agensi akan terus bekerjasama dengan PDRM untuk mengatasi masalah yang menjadikan Sabah sebagai transit sindiket pengedaran dadah,” katanya ketika ditemui semasa kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini, pada Khamis.

Menurut Jauteh, kunjungan hormat berkenaan turut bertujuan memperkenalkan barisan pegawai baharu yang akan menerajui beberapa jabatan penting di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah kepada Tun Musa.

Jauteh berkata, barisan berkenaan terdiri daripada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan beberapa Ketua Jabatan serta Ketua Polis Daerah yang baharu.

Dalam pada itu, Jauteh memaklumkan PDRM Sabah turut melaksanakan pendekatan Kepolisian Komuniti sebagai salah satu usaha mendidik masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

“Kita akan mengadakan beberapa siri program Kepolisian Komuniti bagi mendidik masyarakat supaya menjauhkan diri daripada penyalahgunaan dadah serta menyalurkan maklumat kepada PDRM sekiranya terdapat aktiviti dadah di kawasan mereka,” jelasnya

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis, Datuk Mohd Azhar Hamin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Mohd Hafiz Ya’acob, Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Maklumat, Wong Leong Meng, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Superintendent Yampil Anak Garai serta Ketua Polis Daerah, Shahrudin Mat Husain.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)