KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas tersepit dalam sebuah Toyota Hilux dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di jejambat (flyover) menghala ke Luyang, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.33 pagi itu, kemalangan membabitkan tujuh kenderaan dan sebuah motosikal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sebelum sepasukan anggota dari BBP Jalan Lintas digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.41 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan lapan kenderaan.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di dalam Toyota Hilux menggunakan peralatan khas penyelamatan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi turut dibantu tiga anggota PDRM dan tiga anggota KKM.
Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, operasi ditamatkan pada jam 7.55 pagi.
Kes kemalangan berkenaan diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut.