Sabah Electricity serah zakat perniagaan RM2.18 juta

KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2.18 juta bagi agihan tahun 2025 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi Bahagian Zakat dan Fitrah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, setakat September ini, jumlah kutipan zakat yang diterima mencapai kira-kira RM27 juta.

“Jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, pertambahan RM4 juta direkodkan dan dijangka akan terus meningkat menerusi caruman pembayar zakat individu dan korporat menjelang penghujung tahun ini.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan MUIS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SE atas komitmen yang berterusan dalam menunaikan kewajipan membayar zakat bagi membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada Majlis Penyerahan Zakat SE kepada MUIS yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Dalam majlis berkenaan, zakat perniagaan disampaikan oleh Pengerusi SE, Datuk Saadiah Aziz kepada Isnin dan disaksikan oleh Tun Musa.

Beliau turut menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan korporat dan swasta agar tampil menunaikan zakat perniagaan bagi mendapat keberkatan rezeki.

“Selain mendapat keberkatan rezeki, zakat ini juga dapat diagihkan kepada golongan asnaf sekali gus menyokong usaha kerajaan membasmi kemiskinan di Sabah,” jelasnya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SE, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Ketua Pegawai Operasi SE, Ir. Mohd Riza Zalmee Mohd Ghazali dan Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS, Iwansuzairie Hari.