KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima 13 laporan berhubung isu ucapan yang tular susulan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, laporan berkenaan diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mendakwa ucapan terbabit menyentuh sensitiviti agama serta dikaitkan dengan isu 3R membabitkan agama, kaum dan institusi diraja.
Katanya, semua laporan berkenaan sudah diambil tindakan dan akan diteliti serta disiasat secara menyeluruh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk dengan merujuk perkara itu kepada pihak Bukit Aman.
“Setakat tengah hari ini, kita menerima 13 laporan. Laporan polis itu dibuat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Laporan-laporan polis yang telah dibuat ini telah diambil tindakan oleh pihak PDRM bagi memastikan siasatan yang telus dapat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pembukaan Lawatan Awam ke Galeri Polis Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepayan, di sini, hari ini.
Jauteh pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan secara bersendirian susulan isu berkenaan yang masih menjadi perhatian dan tular di media sosial.
Sebaliknya, beliau meminta masyarakat supaya bertindak secara bijak dan matang serta menyerahkan proses siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Kita mengharapkan supaya masyarakat melihat perkara ini secara matang dan bertindak secara bijak serta berfikiran matang dalam keadaan seperti ini.
“Kita cuba mewujudkan keadaan yang boleh meyakinkan rakan-rakan lain dalam kalangan netizen supaya kita tidak mengambil tindakan secara bersendirian, tetapi menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus,” katanya.
Menurutnya, pendekatan berkenaan penting bagi mengelakkan sebarang tindakan atau kenyataan di media sosial yang berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Isu itu tercetus susulan ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said pada PAU yang kemudiannya tular di media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk masyarakat Kristian.