Sabah Electricity tekad perkasa kestabilan grid elektrik Sabah

KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) tekad memperkasa kestabilan grid elektrik di Sabah melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik.

Pengerusi SE, Datuk Saadiah Aziz berkata, Sistem Tenaga Simpanan Bateri (BESS) merupakan komitmen SE dalam meningkatkan kebolehcapaian bekalan elektrik negeri ini.

“BESS yang berkapasiti 100 Megawatt (MW) antara projek utama yang amat penting dalam memastikan pertambahan kapasiti tenaga bagi menstabilkan grid elektrik khususnya bagi kawasan pantai timur Sabah.

“Selain BESS 100MW, SE juga telah melancarkan Sambungan Grid Sarawak-Sabah yang mempunyai kapasiti 50MW pada Januari lepas bersama Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

“Pada Jun lepas pula, SE turut melancarkan fasa pertama Projek Southern Link yang melibatkan talian sepanjang 60 kilometer,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Beliau juga berharap masyarakat di Sabah mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah terutamanya pada musim panas bagi mengelakkan beban berlebihan kepada sistem grid.

Mengulas lanjut berkenaan kunjungan hormat, Saadiah berkata, SE menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2025 yang bernilai RM2.18 juta kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang disaksikan Tun Musa.

“Bayaran zakat merupakan sebahagian daripada tanggungjawab SE yang akan terus memainkan peranan sebagai syarikat yang bukan sahaja memberikan perkhidmatan utiliti malah turut prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.

“SE berharap melalui usaha yang dilaksanakan akan dapat memberi manfaat kepada yang memerlukan serta mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” tambahnya lagi.

Secara keseluruhannya, sejak 2023, SE dianggarkan telah mengagihkan RM2.36 juta melalui Wakalah Zakat kepada penerima yang layak di Sabah dan Labuan.

Antara yang turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif SE, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar serta Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS, Iwansuzairie Hari.