KOTA KINABALU: Sebuah Perodua Viva berwarna hitam berdepan risiko disita selepas dikesan melakukan lima kesalahan lalu lintas dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah di Jalan Tuaran, di sini, semalam.
Kenderaan itu dikesan Team SPK Telipok melakukan kesalahan termasuk memandu secara melulu dan membahayakan serta gagal berhenti ketika operasi dijalankan.
Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sudah tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans.
Pemandunya pula didapati tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL).
JPJ Sabah dalam kenyataan memaklumkan sebanyak lima notis temu siasat dikeluarkan mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan yang dikesan.
Menurut kenyataan itu, kenderaan berkenaan boleh disita sekiranya sekali lagi dikesan melakukan kesalahan, selain tindakan boleh diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan.
“Jangan jadikan jalan raya sebagai tempat menguji keberanian.
“Jalan raya adalah ruang yang dikongsi bersama dan bukannya tempat untuk melakukan pemanduan agresif, melulu atau tindakan yang boleh membahayakan nyawa orang lain,” menurut kenyataan itu.
JPJ Sabah turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak memandang ringan kesalahan lalu lintas, terutama pemanduan secara melulu dan membahayakan yang boleh mengancam keselamatan pengguna lain.
Lima kesalahan dikesan membabitkan kenderaan itu ialah LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tidak memiliki CDL, gagal berhenti serta memandu secara melulu dan membahayakan.
JPJ Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan serta meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya.