BELURAN: Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max terbakar 100 peratus ketika berada di bawah kolong sebuah rumah di Kampung Desa Talisai, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Nur Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada jam 1.13 pagi sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.16 pagi dan mendapati kenderaan berkenaan sudah terbakar sepenuhnya.
“Menurut keterangan pemanggil, kenderaan itu pada awalnya berada di bawah kolong rumah sebelum terbakar.
“Orang awam kemudian menolak kenderaan berkenaan keluar dari kolong rumah sebelum api dipadamkan menggunakan baldi berisi air dan pam galas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nur Azlan Shah berkata, kebakaran itu turut menyebabkan kira-kira 20 peratus kerosakan pada struktur rumah terbabit.
Beliau berkata, tiada operasi pemadaman dilakukan anggota bomba berikutan api sudah dipadamkan orang awam sebelum pasukan tiba.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan keadaan selamat.
“Operasi ditamatkan pada jam 2.40 pagi dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.