Lelaki maut terkena renjatan elektrik di Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang lelaki lingkungan 30-an maut selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Puyut, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.47 tengah hari itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan sebelum 12 anggota digerakkan ke lokasi.

Ketua Balai BBP Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada 12.55 tengah hari dan mendapati seorang lelaki telah terkena renjatan elektrik.

“Pihak KKM yang berada di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Mangsa dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan menurut penduduk kampung, lelaki berkenaan tidak dikenali oleh penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan pengusung dan tali selepas bekalan elektrik di lokasi dipotong oleh Sabah Electricity bagi memastikan keselamatan pasukan penyelamat.

Menurutnya, operasi berjaya dikawal pada 1.30 petang sebelum mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada 1.36 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” jelasnya.