KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah setakat ini belum menerima sebarang laporan polis berhubung isu yang mengaitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, dengan New Age Movement (NAM).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya akan meneliti perkara berkenaan sekiranya terdapat laporan polis dibuat berhubung isu tersebut.
“Setakat ini belum ada laporan polis kita terima. Kalau ada, pihak Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas akan memaklumkan perkara itu kepada saya,” katanya.
Jauteh berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan dakwaan yang mengaitkan Marhamah dengan ajaran NAM, yang menjadi perhatian selepas tersebarnya kandungan itu di media sosial.
Terdahulu, isu berkenaan tercetus susulan penyebaran kandungan yang mengaitkan Marhamah dengan amalan perdukunan, sihir, azimat dan NAM.
Dalam perkembangan terbaharu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan sesi pertemuan dan ‘tabayyun’ bersama Marhamah bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung isu berkenaan.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, sesi itu turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah JAKIM dan pihak berkaitan bagi meneliti isu berkenaan berdasarkan disiplin akidah, autoriti agama serta latar pemikiran NAM.
JAKIM pada masa sama menegaskan pendirian untuk menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bertentangan dengan syarak dan prinsip akidah Islam, selain mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan bahan yang beredar tanpa pengesahan atau di luar konteks.