TAWAU: Sebuah Perodua Myvi merempuh sebuah premis perniagaan sebelum melanggar Toyota Innova yang diletakkan di kawasan parkir di Lorong Bintang Shophouse 8, Batu 3, Jalan Apas, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika pemandu Myvi, lelaki tempatan berusia 60 tahun, dipercayai terpijak pedal minyak ketika hendak keluar dari petak parkir.
Menurutnya, pemandu terbabit baru selesai mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran sebelum kenderaan dipandunya meluncur ke hadapan dan merempuh premis perniagaan.
“Dalam keadaan panik, pemandu cuba mengundurkan kenderaan sebelum melanggar sebuah Toyota Innova yang sedang diletakkan berhampiran.
“Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk, manakala pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu berkenaan didapati negatif dadah, manakala ujian pernafasan turut dijalankan di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Mohd Hanafiah Mat Sari di talian 019-886 7715 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Dalam pada itu, Rosdi menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik selain memberi perhatian sepenuhnya ketika mengendalikan pedal minyak dan brek.
“Pastikan gear berada pada kedudukan yang betul sebelum menggerakkan kenderaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Terdahulu, rakaman kejadian tular di media sosial memaparkan sebuah Myvi merempuh premis berkenaan sebelum mengundur dengan laju dan melanggar kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir.