KOTA KINABALU: Lebih ramai anak muda di Sabah perlu diberi ruang dan sokongan untuk tampil ke hadapan, berani memimpin serta bersedia mengambil tanggungjawab dalam membentuk masa depan negeri.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, usaha memperkasa kemahiran kepimpinan golongan muda akan terus diberi perhatian menerusi platform sedia ada, termasuk membabitkan pimpinan pelajar dan mahasiswa Sabah.
Katanya, generasi muda bukan sekadar pewaris masa depan Sabah, sebaliknya perlu dilibatkan secara langsung dalam membentuk hala tuju negeri.
“Kita mahu lebih ramai anak muda Sabah tampil ke hadapan, berani memimpin dan bersedia mengambil tanggungjawab.
“Kerana masa depan Sabah bukan sekadar untuk diwariskan kepada anak muda, tetapi perlu dibina bersama oleh mereka,” katanya.
Azrul berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook miliknya selepas berkesempatan menyantuni dua anak muda Sabah yang baru-baru ini diberi kepercayaan menerajui kepimpinan Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan 6 Kebangsaan.
Kehadiran beliau turut disambut dengan mesra oleh para pentadbiran di kedua-dua sekolah.
“Terima kasih atas sambutan dan ruang yang diberikan untuk kita bersembang serta berkongsi pandangan,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga melihat anak muda Sabah diberi kepercayaan memimpin di peringkat kebangsaan, selain menyatakan komitmen untuk terus membantu memperkasa kemahiran kepimpinan mereka.

Baru-Baru ini, Alyssa Alexandra Azalan dari Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu dipilih sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan 6 Kebangsaan, manakala Freddy Effandy Andrew Yap dari SMK Membakut, Beaufort dipilih sebagai Naib Yang Dipertua.
Pemilihan Alyssa dan Freddy membuktikan anak muda Sabah mampu diberi kepercayaan untuk memimpin bukan sahaja di peringkat negeri, malah di pentas kebangsaan.
Azrul turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua anak muda itu dan berharap mereka terus melangkah serta membawa nama Sabah dengan bangga di peringkat kebangsaan.