Empat pemilik syarikat, seorang penjawat awam didakwa 22 pertuduhan kes rasuah projek PPRT

KOTA KINABALU: Lima individu, termasuk seorang pembantu tadbir Jabatan Pertanian Negeri Sabah, didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, hari ini, atas 22 pertuduhan berkaitan dokumen mengandungi pernyataan palsu dalam pelaksanaan kerja baik pulih rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.

Lima tertuduh ialah pemilik syarikat, Ashar Usman, 45; Shariff Wahya, 55; Kenidi Musa, 41; Mohd Nur Musa, 42; dan pembantu tadbir Jabatan Pertanian Negeri Sabah, Aidah Mustapha, 54.

Ashar berdepan satu pertuduhan, Shariff satu pertuduhan, Kenidi lima pertuduhan, Mohd Nur lima pertuduhan manakala Aidah menghadapi 10 pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan antara Februari hingga September 2021 di pejabat GIATMARA Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Ashar didakwa memberikan kepada Pengarah GIATMARA Negeri Sabah, Saflee Ag Damit, satu dokumen pesanan belian bernilai RM14,933 yang mengandungi pernyataan palsu berhubung kerja baik pulih rumah PPRT yang didakwa tidak mengikut butiran pengiraan (BQ) ditetapkan.

Shariff pula didakwa memberikan dokumen pesanan belian bernilai RM14,999 yang mengandungi pernyataan palsu berkaitan kerja baik pulih rumah PPRT yang didakwa tidak mengikut spesifikasi kerja ditetapkan.

Sementara itu, lima pertuduhan terhadap Kenidi membabitkan beberapa invois bernilai hampir RM15,000 setiap satu yang didakwa mengandungi pernyataan palsu berkaitan kerja baik pulih rumah PPRT.

Bagi Mohd Nur, lima pertuduhan yang dihadapinya membabitkan dokumen pesanan belian bernilai antara RM14,934 dan RM15,000, dengan pertuduhan antaranya mendakwa kerja baik pulih yang dinyatakan dalam dokumen terbabit tidak dilaksanakan atau tidak mengikut butiran pengiraan ditetapkan.

Kesemua pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Aidah pula menghadapi lima pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 membabitkan invois bernilai antara RM14,996.50 hingga RM15,000.

Lima lagi pertuduhan terhadapnya adalah berkaitan dakwaan menggunakan dokumen sebagai tulen walaupun mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen berkenaan adalah palsu bagi tujuan mendapatkan bayaran kerja baik pulih PPRT.

Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama.

Mahkamah membenarkan Ashar diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM3,000 dan seorang penjamin tempatan, manakala Shariff dikenakan jaminan RM10,000 dengan deposit RM1,000 dan seorang penjamin.

Kenidi dan Mohd Nur masing-masing dikenakan jaminan RM15,000 dengan deposit RM5,000 serta dua penjamin tempatan.

Aidah pula dikenakan jaminan RM20,000 dengan deposit RM5,000 dan dua penjamin tempatan.

Kesemua tertuduh turut diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa dan atau pasport terhad kepada mahkamah serta tidak mendekati saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 28 Oktober ini untuk pengurusan kes.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi.