Tanah runtuh, pokok tumbang halang laluan di RNR Taviu Spring

RANAU: Kejadian tanah runtuh menyebabkan sebatang pokok tumbang lalu menghalang laluan jalan raya berhampiran Taviu Spring RNR, Kampung Toupos, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 11.35 malam, 3 Oktober, tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum sepasukan dua anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 66 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.45 tengah malam dan mendapati pokok tumbang menghalang laluan akibat kejadian tanah runtuh.

Operasi pembersihan dijalankan dengan anggota “menggunakan gergaji berantai bagi memotong batang pokok sebelum mengalihkannya ke lokasi yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Tambahnya, operasi yang diketuai PBK I Becket Gumat melaporkan keadaan terkawal pada jam dua pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.55 pagi selepas pemeriksaan akhir mendapati tiada bahaya lain di lokasi.

“Tindakan lanjut berkaitan kejadian tanah runtuh itu kemudiannya diserahkan kepada pihak Pan Borneo, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bersama lima anggota Pan Borneo,” ujar beliau.