TAWAU: Rakaman video pergaduhan sekumpulan pelajar yang tular di media sosial membantu polis mengenal pasti individu terbabit sebelum 14 lelaki berusia antara 12 hingga 14 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kes itu berlaku di Taman Permainan Taman Ambar, Jalan Kuhara, di sini, kira-kira jam 6 petang pada 6 Oktober lalu.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian sebelum Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan dan mengesan individu terbabit.
“Pada 7 Oktober lalu, seramai 14 lelaki berusia antara 12 hingga 14 tahun berjaya ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara dua pelajar sebelum berlaku pergaduhan yang kemudiannya melibatkan beberapa pelajar lain.
“Rakaman video kejadian yang tular turut membantu polis mengenal pasti individu serta peranan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 13 dan sebuah basikal berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Katanya, seorang daripada individu yang ditahan merupakan warga asing dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan penglibatan dan peranan setiap individu yang ditahan,” katanya.
Beliau berkata, polis turut mendapatkan rakaman video asal, merakam percakapan saksi dan individu ditahan serta mendapatkan laporan perubatan mangsa.
“Polis turut bekerjasama dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau bagi membantu siasatan,” katanya.
Rosdi mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang tindakan merusuh, menyerang individu lain atau menggunakan apa-apa objek sebagai senjata kerana ia merupakan kesalahan serius.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak.
“Pelajar juga diingatkan supaya tidak terbabit dalam pergaduhan, melakukan provokasi atau menyertai kumpulan yang boleh membawa kepada perlakuan jenayah.
“Polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit,” katanya.