KOTA KINABALU: Ketika kebanyakan masyarakat hanya mula memikirkan soal keselamatan apabila bencana melanda, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) sudah terlebih dahulu membuat persediaan awal bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mangsa secepat mungkin.
Pengarah JPKAS, Jais Asri berkata, kesiapsiagaan menghadapi bencana dilaksanakan melalui tiga fasa utama iaitu sebelum, semasa dan selepas bencana.
Katanya, kawasan yang berisiko dikenal pasti lebih awal bagi membolehkan bekalan asas ditempatkan sebelum kejadian berlaku.
“Apabila bencana berlaku, kita sudah ada petugas di kawasan itu yang ditentukan lebih awal dan agihan akan dibuat oleh petugas di daerah berkenaan dengan bantuan NGO.
“Stok seperti selimut, bantal dan bekalan air dihantar lebih awal ke kawasan yang dikenal pasti kerap berdepan bencana, khususnya menjelang musim tertentu yang berisiko berlaku banjir dan kejadian lain.
“Dengan cara demikian, agihan barangan dapat sampai dengan cepat kepada mangsa yang terlibat,” katanya dalam sesi temu bual bersama Sayang Sabah, pada September lalu.
Jais berkata, selepas sesuatu bencana berakhir, JPKAS akan membuat penilaian semula terhadap stok yang telah digunakan bagi mengenal pasti bekalan yang perlu ditambah atau diganti, sekali gus memastikan kitaran kesiapsiagaan sentiasa berjalan.
“Bagaimanapun, antara cabaran terbesar dalam pengurusan bencana ialah mengendalikan emosi mangsa yang berada dalam keadaan sedih, tertekan dan ada kalanya marah berikutan kehilangan harta benda atau tempat tinggal,” jelasnya.
Menurutnya, petugas JPKAS dilatih untuk menghadapi situasi sedemikian, selain berdepan cabaran mengumpul data mangsa, khususnya dalam kes kebakaran apabila dokumen penting turut musnah.
“Pada peringkat awal, atas faktor kemanusiaan, kita berikan semua mangsa makanan terlebih dahulu tanpa mengira siapa mereka.
“Selepas itu, kita dapatkan dokumen dan menentukan bantuan yang sesuai untuk mereka.
“Proses ini memang melelahkan, tetapi dengan kerjasama pengurusan bencana di peringkat daerah, perkara ini boleh diatasi,” katanya.
JPKAS juga mempunyai Pasukan Sukarelawan Kebajikan yang terdiri daripada orang awam dan NGO, dengan kira-kira 470 individu telah dilatih setakat ini.
“Latihan itu merangkumi aspek pendaftaran mangsa, pengagihan bantuan serta sokongan emosi, termasuk penglibatan sukarelawan yang mempunyai kepakaran dalam bidang psikologi.
“Di seluruh daerah di Sabah, kita mempunyai pasukan sukarelawan kebajikan sekurang-kurangnya 50 orang dengan seorang ketua dan jika sesuatu lokasi mengalami kekurangan petugas, kita boleh menarik anggota dari daerah berdekatan untuk membantu,” ujarnya.
Apabila cabaran turut timbul ketika berlaku bencana berskala besar di luar jangkaan sehingga menyebabkan stok makanan tidak mencukupi, selain faktor geografi Sabah yang luas menjadikan proses mendapatkan bekalan tambahan mengambil masa.
Katanya, bekalan terpaksa diperoleh dari kawasan berdekatan dan dalam sesetengah keadaan jaraknya boleh mencecah kira-kira 100 kilometer, sekali gus menyebabkan bantuan mengambil masa untuk tiba.
Dalam pada itu, Jais berkata kerjasama dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta termasuk PETRONAS turut membantu memperkukuh kesiapsiagaan JPKAS dalam menghadapi bencana.
“Apabila barangan telah disediakan dan dibungkus dengan baik, ia lebih mudah untuk tujuan pengurusan dan pada masa sama dapat mengurangkan kos kepada jabatan serta kerajaan,” tambah beliau.
Jais yang telah berkhidmat selama kira-kira 30 tahun dalam bidang kebajikan menasihatkan, masyarakat di kawasan yang sering dilanda bencana perlu turut memainkan peranan dengan membuat persediaan lebih awal.
“Kita sebenarnya berharap bencana itu tidak berlaku, tetapi kita tahu setiap tahun pasti ada bencana. Jadi, masyarakat khususnya di kawasan yang sering dilanda bencana perlu bersiap sedia.
“Datanglah ke pusat pemindahan yang telah dikenal pasti dan disediakan oleh jabatan,” katanya.
Selain kesiapsiagaan fizikal, JPKAS turut memperluas akses perkhidmatan kebajikan menerusi sistem Sabah Welfare and Application (SWAA) yang membolehkan permohonan bantuan dibuat secara dalam talian.
Jais menambah, sistem berkenaan membolehkan orang ramai membuat permohonan tanpa perlu hadir ke pejabat dan keputusan awal mengenai kelayakan dapat diketahui dengan lebih pantas.
“Proses permohonan yang sebelum ini boleh mengambil masa sehingga seminggu dapat dipendekkan kepada beberapa minit melalui sistem ini,” katanya.