Mustapha mahu siasatan menyeluruh tragedi kontena hempap kereta

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud mahu siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian kontena menghempap sebuah kereta sehingga mengorbankan dua beranak di Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, semalam.

Beliau berkata, tragedi yang meragut nyawa Mohd Jadi Pelbi, 53, dan anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, itu amat menyayat hati, terutama kepada keluarga yang kehilangan dua insan tersayang dalam kejadian sama.

“Sebagai seorang ayah, luluh hati saya apabila menerima perkhabaran mengenai tragedi ini.

“Saya tidak dapat membayangkan betapa pilunya perasaan ahli keluarga yang kehilangan dua insan tersayang secara serentak dalam kejadian yang begitu menyayat hati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Sepanggar itu turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh keluarga mangsa serta mendoakan agar roh kedua-dua Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berwajib menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk aspek keselamatan pengendalian kontena.

Menurutnya, siasatan perlu turut meneliti kemungkinan berlakunya kecuaian atau ketidakpatuhan terhadap peraturan keselamatan oleh mana-mana pihak yang terbabit.

“Jika ada elemen kecuaian dan ketidakpatuhan (non-compliance) yang melibatkan mana-mana pihak, saya akan pastikan mereka yang terlibat dipertanggungjawabkan.

“Cukuplah insiden kemalangan membabitkan kenderaan berat ini berulang di Sepanggar,” katanya.

Beliau berkata, langkah sewajarnya perlu diambil bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan mengelakkan tragedi seumpama itu berulang.

Mustapha turut memaklumkan sudah meminta Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar (Suara Sepanggar) menziarahi keluarga mangsa bagi mengenal pasti keperluan mereka.

Katanya, pihak berkenaan juga diminta membantu keluarga mangsa menyemak dan menguruskan sebarang bentuk bantuan serta pampasan yang layak diterima waris.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan keluarga mangsa mendapat pembelaan dan sokongan sewajarnya dalam menghadapi detik sukar berkenaan.

Beliau turut mengajak orang ramai membaca Surah al-Fatihah dan menyedekahkan pahalanya kepada kedua-dua Allahyarham dan Allahyarhamah.