Penuntut IPTS direman tiga hari bantu siasatan kes rogol

TAWAU : Seorang penuntut institut pendidikan tinggi swasta (IPTS) direman tiga hari bermula esok bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan bawah umur.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas membenarkan permohonan polis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Suspek berusia 18 tahun itu ditahan kira-kira 11.15 malam tadi, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Berdasarkan keterangan kes yang dikemukakan di mahkamah di sini, kes berkenaan dipercayai berlaku pada 2024 ketika mangsa berusia 14 tahun.

Kes itu terbongkar selepas seorang pegawai perubatan Hospital Tawau membuat laporan polis susulan pemeriksaan terhadap mangsa pada 1 Oktober baru-baru ini.