TAWAU: Seorang lelaki dihukum penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya yang berusia 13 tahun, tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 36 tahun, selepas menukar pengakuannya kepada bersalah ketika prosiding hari ini yang sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan penuh.
Bekas pekerja kilang itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun sembilan bulan bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 hingga 10 September 2025, kira-kira jam 5 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) ketidakupayaan pembelajaran (learning disability) ketika itu sedang tidur sebelum menyedari tertuduh melakukan perbuatan tersebut.
Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada gurunya di sekolah sebelum guru berkenaan memaklumkannya kepada ibu mangsa pada hari berikutnya.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan sebelum pegawai perubatan bertugas mengarahkan supaya laporan polis dibuat.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai seorang anak OKU sindrom Down selain perlu menanggung ibunya yang sudah lanjut usia.
Tertuduh turut memohon hukuman penjara dikira dari tarikh dia ditangkap selain menyatakan penyesalan dan mengaku sudah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan dan kes berkenaan adalah kesalahan seksual pertamanya.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin bagaimanapun memohon hukuman berat dan setimpal dengan mengambil kira usia mangsa yang masih kanak-kanak, sifat perbuatan seksual dilakukan, kepentingan awam serta keperluan pencegahan dan perlindungan terhadap kanak-kanak.
Pendakwaan turut memohon supaya tertuduh diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan mengikut Seksyen 26(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 serta pengawasan polis mengikut Seksyen 27(1) akta sama.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan dikenakan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu dikira dari tarikh tertuduh ditangkap.
Tertuduh juga kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 39C(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 bermula 13 September 2025.