Markas 13 Briged perkukuh keselamatan sempadan Sabah

KOTA KINABALU: Markas 13 Briged Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus memperkukuh keselamatan di kawasan pantai timur Sabah, khususnya di kawasan sempadan.

Panglima 13 Briged, Brigedier Jeneral Ahmad Hafizal Hashim berkata, usaha itu merupakan antara tanggungjawab utama pasukan berkenaan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah terus dipertahankan.

“Fokus utama 13 Briged adalah untuk memperkukuh keselamatan di kawasan pantai timur Sabah, terutama di kawasan sempadan dengan negara jiran.

“Kami akan terus melaksanakan tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan negara, khususnya di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Rabu.

Ahmad Hafizal berkata, kunjungan itu bertujuan memperkenalkan diri kepada Tun Musa sebagai Panglima 13 Briged keempat selepas mengambil alih kepimpinan 13 Briged yang berpangkalan di Kem Cenderawasih, Lahad Datu.

Menurutnya, usaha memastikan keselamatan Sabah terus terpelihara turut memerlukan kerjasama erat antara pasukan tentera, pihak berkuasa awam dan masyarakat setempat.

“Selain melaksanakan tugas sebagai anggota tentera, kami turut mengharapkan kerjasama daripada pihak berkuasa awam dan seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama menjaga keselamatan negeri ini.

“Keselamatan bukan hanya tanggungjawab anggota tentera semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak,” jelasnya.

Beliau turut berharap agar masyarakat sentiasa memberikan kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam usaha memastikan keamanan dan kedaulatan negeri terus terpelihara.

Ahmad Hafizal mengambil alih jawatan Panglima 13 Briged daripada Brigedier Jeneral Datuk Jagjit Singh Indar Singh dalam majlis serah terima tugas yang berlangsung di Kem Kubota, Tawau pada 13 Oktober lalu.