Dua cedera Myvi terbabas langgar penghadang jalan

PAPAR: Dua individu, masing-masing lelaki dan wanita cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Kampung Padawan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa masing-masing berusia 30-an yang berada di dalam kenderaan berkenaan dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Sistem NG999 pada jam 4.06 petang.

Katanya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi pada jam 4.28 petang, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi yang terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang jalan.

“Dua mangsa yang mengalami kecederaan dikeluarkan dari kenderaan sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Papar bagi mendapatkan rawatan.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya