KOTA KINABALU: Warga setiausaha perkhidmatan awam negeri berperanan penting sebagai penggerak Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) bagi mempermudah urusan rakyat dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman berkata, warga setiausaha perlu memastikan urusan pentadbiran dipermudah dan proses kerja ditambah baik.
“Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) bagi melaksanakan agenda Reformasi Kerenah Birokrasi, khususnya untuk mempercepat proses penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Kelancaran sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh pengurusan tertinggi, tetapi banyak juga bergantung dengan kebijaksanaan para setiausaha.
“Oleh itu, warga setiausaha perlu memainkan peranan dengan mempermudah urusan orang awam yang ingin mendapatkan khidmat atau bertemu ketua jabatan bagi membincangkan isu dan masalah mereka.
“Urusan rakyat perlu dipermudahkan. Kita kurangkan apa juga birokrasi yang tidak perlu dalam perkhidmatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Anugerah Minggu Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri (MSPA) 2026, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, komitmen, disiplin dan integriti perlu menjadi amalan setiap penjawat awam, termasuk mematuhi waktu bekerja serta melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab.
“Yakinlah apabila komitmen, disiplin kita sudah mengakar umbi, tidak ada yang boleh menghalang kita untuk mencapai kejayaan,” tambahnya.
Zainudin turut menggalakkan warga setiausaha memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mempercepat tugasan pentadbiran, namun menegaskan setiap maklumat yang dihasilkan perlu disemak dari segi ketepatan dan kesesuaian.
“Jangan 100 peratus bergantung dengan AI, perlu juga disemak kesesuaian, ketepatan bahasa, penggunaan ayat dan sebagainya, terutama maklumat-maklumat yang dimasukkan di dalam surat-menyurat,” ujarnya.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah MSPA 2026 kepada lapan penerima menerusi empat kategori.
Anugerah Tokoh Setiausaha diberikan kepada Liew Fui Moi, manakala Anugerah Jasa Kesetiausahaan diterima Hildah Charles A. Andu @ Ritah.
Anugerah Setiausaha Cemerlang diberikan kepada Fiona Danny, Dewi Abdul Ganiih dan Josephine Robert, manakala Anugerah Setiausaha Harapan diterima Caroline Flavinus Siang, Nor Fazryna Mohd. Sabli dan Fujiah @ Fauziah Sukuk.
MSPA 2026 turut merangkumi aktiviti khidmat masyarakat, program pengukuhan pasukan, seminar setiausaha perkhidmatan awam serta penganugerahan kepada warga setiausaha sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan kecemerlangan mereka.
Beliau berharap penganjuran program itu terus diperkasakan sebagai platform pembangunan profesional yang menyokong perkongsian kepakaran, pemerkasaan kaedah kerja digital dan peningkatan mutu perkhidmatan awam.
Hadir sama, isteri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datin Siti Yuslaini Mohd Samsuri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Norlijah Danin dan Pengarah Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN), Dr. Tetty Ruziyati A. Hamid.