Kejohanan Golf Amal SEC sumbang RM200,000 untuk kebajikan Sabah

KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) menyalurkan sumbangan berjumlah RM200,000 bagi menyokong usaha kebajikan masyarakat di Sabah menerusi penganjuran Kejohanan Golf Amal SEC 2026 di Sutera Harbour Golf & Country Club, di sini, hari ini.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM150,000 akan disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Sabah, manakala baki RM50,000 diagihkan kepada badan-badan kebajikan lain di negeri ini yang akan dikenal pasti kelak.

Kejohanan yang membawa tema “Swing with Purpose. Drive for Impact” itu berjaya menghimpunkan penaja, rakan perniagaan dan peserta bagi mengumpul dana kebajikan, selain menjadi platform mengeratkan hubungan menerusi sukan golf.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Ir. Ts. Adzmir Abd. Rahman berkata, tanggungjawab membangunkan Sabah bukan hanya tertumpu kepada aspek ekonomi dan pembangunan, malah turut merangkumi usaha memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi perhatian.

Menurutnya, masih terdapat keluarga yang memerlukan bantuan untuk memenuhi keperluan asas, anak-anak yang memerlukan sokongan bagi meneruskan pendidikan serta golongan yang berusaha membina semula kehidupan selepas ditimpa musibah.

“Bantuan yang bermakna bermula dengan memahami keperluan mereka, disampaikan dengan menjaga maruah penerima dan diurus dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis kejohanan berkenaan.

Beliau berkata, sumbangan itu mencerminkan komitmen SEC dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya menerusi inisiatif yang memberi tumpuan kepada bidang pendidikan, kebajikan dan pemeliharaan alam sekitar.

Adzmir turut menegaskan bahawa kepercayaan yang diberikan oleh penaja dan peserta merupakan satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan sumbangan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Setiap sumbangan ialah amanah. Kami menghargai kepercayaan ini dan komited untuk memastikan sumbangan yang diterima diurus dengan bertanggungjawab serta disalurkan bagi tujuan kebajikan yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, SEC merakamkan penghargaan kepada penaja Platinum, Sepangar Bay Power Corporation Sdn. Bhd., serta penaja Gold iaitu Supreme LNG, Gamuda Berhad dan Sistem Konsult Sdn. Bhd.

Penghargaan turut diberikan kepada semua penaja Silver, penyumbang serta pasukan yang mengambil bahagian dalam menjayakan kejohanan berkenaan.

Menurut Adzmir, kerjasama sektor korporat menerusi platform seperti itu membuktikan bahawa hubungan yang terjalin melalui perniagaan dan sukan mampu dimanfaatkan untuk memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

Beliau berharap kerjasama seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang bagi memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan di Sabah.

“Semoga persahabatan yang dieratkan hari ini menjadi kekuatan untuk kita meringankan beban dan membuka peluang kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kejohanan Golf Amal SEC akan diteruskan pada tahun hadapan dengan skala penganjuran lebih besar bagi menarik lebih ramai penyumbang dan peserta sekali gus meningkatkan kutipan dana untuk disalurkan kepada usaha kebajikan di negeri ini.