Pengarah klinik swasta ditahan, disyaki tipu dana saringan kesihatan RM50,000

LAHAD DATU: Seorang pengarah klinik swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu bagi mendapatkan dana Program Saringan Kesihatan bernilai kira-kira RM50,000.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2023 dengan menggunakan maklumat 880 pekerja yang juga pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tanpa pengetahuan mereka bagi membuat permohonan dana program berkenaan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurutnya, suspek akan dilepaskan selepas keterangannya selesai diambil.

“Seksyen 18 Akta SPRM 2009 memperuntukkan kesalahan mengemukakan dokumen atau tuntutan yang mengandungi butir matan palsu dengan niat memperdayakan prinsipal.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan modus operandi kes berkenaan,” katanya.