Amang seksual terhadap kanak-kanak, nelayan dilepas tanpa dibebaskan

TAWAU: Seorang nelayan yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan atas kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas pengadu yang juga saksi kedua pendakwaan secara tiba-tiba menyatakan hasrat untuk menghentikan prosiding pada peringkat pendakwaan hari ini.

Wanita itu memaklumkan kepada mahkamah mahu menarik balik laporan polis ketika pemeriksaan balas oleh peguam tertuduh.

Susulan perkembangan itu, Hakim membuat keputusan melepas tanpa membebaskan tertuduh Roberto Sairal, 59, daripada pertuduhan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Hafiza Husna Elahab@ Lahab.

Terdahulu, Roberto pada 8 Januari tahun lalu disabitkan kesalahan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dalam kejadian pada Disember 2024.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan terhadapnya sebelum tertuduh memfailkan rayuan terhadap hukuman dan sabitan di Mahkamah Tinggi Tawau.

Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan rayuan berkenaan dan mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan semula.

Dengan keputusan DNAA itu, tertuduh tidak dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan dan masih boleh didakwa semula tertakluk kepada keputusan pihak pendakwaan.