KOTA KINABALU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sabah terus mempergiat usaha membantu meningkatkan pengetahuan masyarakat luar bandar melalui pendidikan kemahiran.
Pengarah KEMAS Sabah, Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi berkata, program pendidikan kemahiran yang dijalankan bertujuan memberikan pendedahan serta keterampilan kepada para peserta agar mereka berani menceburi bidang perniagaan.
“Para peserta akan mengikuti kelas-kelas pengajian yang berlangsung selama setahun bagi memberikan pendedahan asas kemahiran mengikut minat masing-masing, sekali gus membuka peluang dalam sektor keusahawanan untuk menjana pendapatan tambahan keluarga.
“Antara kemahiran yang menjadi pilihan para peserta termasuk bidang masakan, jahitan, dandanan diri serta seni tangan yang sentiasa mendapat perhatian tinggi, terutamanya daripada golongan wanita dan suri rumah.
“Kapasiti yang terhad dalam setiap kelas juga dapat membantu memastikan keberkesanan latihan sebelum peserta baharu mengikuti kelas pada tahun berikutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Mini Konvokesyen Unit Pendidikan Kemahiran dan Pembangunan Komuniti KEMAS Daerah Tuaran, di sini, pada Rabu.
Beliau turut menggalakkan orang ramai yang berminat mengikuti kelas-kelas kemahiran yang ditawarkan supaya berkunjung ke Pejabat KEMAS di daerah masing-masing untuk mendapatkan keterangan lanjut.
Ahmad turut memaklumkan bahawa KEMAS menyediakan geran kepada peserta yang telah menamatkan pengajian bagi menceburi bidang keusahawanan menerusi inisiatif Quick Win.
“Peserta yang tamat latihan dan berjaya melepasi sesi temu duga layak memohon geran inisiatif kit keusahawanan bernilai RM5,000.
“Bantuan ini disesuaikan mengikut bidang yang diikuti seperti mesin jahit untuk bidang jahitan serta ketuhar dan pengadun (mixer) bagi bidang masakan, tertakluk kepada peruntukan kerajaan,” ujarnya.
Beliau berharap agar para peserta tidak melepaskan peluang untuk mengembangkan potensi dalam bidang keusahawanan melalui inisiatif yang disediakan KEMAS mahupun agensi kerajaan lain.
Dalam majlis itu, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag merasmikan konvokesyen berkenaan sebelum menyampaikan sijil kepada 149 peserta KEMAS Tuaran yang berjaya menamatkan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran.