KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menolak cadangan pembubaran Parlimen lebih awal yang dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya mahu kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat.
Pengerusinya, Datuk Ir. Mustapha Sakmud, berkata sebarang kekosongan dalam Kabinet susulan kemungkinan rombakan boleh ditangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengikut proses sewajarnya tanpa perlu membubarkan Parlimen.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan kerajaan terus melaksanakan agenda pembangunan ekonomi, reformasi institusi dan penambahbaikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Keutamaan Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah memperkukuh ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mustapha berkata, cadangan itu juga menimbulkan persoalan kerana dilihat bercanggah dengan pendirian Zahid selaku Presiden UMNO yang sebelum ini menyatakan parti itu akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Katanya, perjanjian dimeterai selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) turut menetapkan kerjasama bagi tempoh lima tahun Parlimen Ke-15, dengan kerajaan masih mempunyai ruang meneruskan pentadbiran sehingga Disember 2027.
Menurutnya, baki tempoh penggal berkenaan perlu dimanfaatkan untuk menunaikan amanah kepada rakyat, bukannya membuka ruang kepada ketidaktentuan politik menerusi pembubaran Parlimen lebih awal.
“Langkah itu berpotensi mengganggu pelaksanaan reformasi institusi dan penambahbaikan tadbir urus yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Kerajaan perlu terus melaksanakan reformasi, menangani kos sara hidup dan menambah baik perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A- dengan tinjauan stabil oleh S&P Global Ratings mencerminkan daya tahan ekonomi negara serta menyokong usaha menarik pelaburan.
“Keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia perlu dipelihara dan tidak wajar dipertaruhkan hanya kerana kepentingan politik jangka pendek,” katanya
Sehubungan itu, katanya, PH Sabah menggesa semua pihak menghormati mandat sedia ada serta memberi ruang kepada Perdana Menteri meneruskan agenda ekonomi, reformasi dan kebajikan rakyat.