SANDAKAN: Seramai 12,582 pencarum dan waris menerima faedah tuntutan berjumlah RM20.23 juta menerusi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) setakat 31 Oktober 2026.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, daripada jumlah itu, seramai 373 penerima faedah di Sabah menerima bayaran berjumlah lebih RM481,000.
Katanya, skim berkenaan menyediakan perlindungan kewangan kepada pekerja dan keluarga sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.
“Setakat 31 Oktober lalu, seramai 12,582 pencarum dan waris yang layak menerima pelbagai faedah gantian pendapatan daripada LINDUNG 24 Jam bagi memastikan kelangsungan sosioekonomi ketika ditimpa musibah.
“LINDUNG 24 Jam turut merekodkan peningkatan dengan jumlah faedah yang disalurkan kepada pencarum dan waris mencecah RM20.23 juta.
“LINDUNG 24 Jam membuktikan skim ini bertindak sebagai perlindungan bagi memastikan pekerja dan keluarga mereka mendapat sokongan kewangan jika berlaku kemalangan kerana musibah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira waktu, tempat atau aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kenduri Rakyat i-LINDUNG u@Batu Sapi di Flat Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), di sini, pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pekerja, khususnya di Sabah, supaya memastikan perlindungan skim berkenaan kekal aktif.
Katanya, pencarum yang pernah memilih untuk keluar daripada skim itu juga digalakkan menyertai semula menerusi kaunter LINDUNG 24 Jam yang disediakan sepanjang program.
Dalam pada itu, beliau berkata, komitmen Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut memberikan manfaat kepada golongan sasar melalui penyediaan Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu.
Jelasnya, faedah terbaharu susulan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) itu merekodkan penyaluran peruntukan berjumlah hampir RM12,000 kepada 12 penerima yang layak.
Katanya, inisiatif berkenaan menjadi pemangkin kepada peralihan kerjaya dalam persekitaran pasaran buruh yang semakin dinamik.
“Kita mahu agar setiap peluang peralihan kerjaya berupaya dimanfaatkan sepenuhnya tanpa dibatasi faktor geografi kerana kerajaan memahami ada pelbagai faktor yang diambil kira apabila menimbangkan tawaran kerja.
“Justeru, EBM ini akan memberi manfaat sebaiknya buat orang berinsurans menerusi Akta 800, termasuk generasi muda di seluruh Sabah,” katanya.
Mengulas objektif program, Khairul Firdaus berkata, pendekatan turun padang itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat perlindungan sosial dapat disampaikan terus kepada rakyat tanpa mengira latar belakang, pekerjaan dan lokasi, termasuk di kawasan luar bandar serta pedalaman Sabah.
Menurutnya, orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat, nasihat dan perkhidmatan PERKESO secara terus menerusi kaunter yang disediakan tanpa perlu hadir ke pejabat agensi berkenaan.
Antara perkhidmatan ditawarkan termasuk diskaun faedah caruman lewat bayar sehingga 80 peratus kepada majikan, saringan kesihatan percuma serta kaunter LINDUNG Kasih, LINDUNG Kerjaya, LINDUNG Pekerja dan LINDUNG Kendiri.
Dalam program sama, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan Sabah dan artis popular tanah air seperti Amy Search, Amir Masdi, Bell Ngasri, Enn Xaviera, Gretchene Duirina dan Joy Shazrie.
Program itu turut meraikan perpaduan dan kepelbagaian budaya Sabah menerusi penganjuran pertandingan Tarian Igal-Igal, pertandingan mewarna kanak-kanak serta pertandingan pakaian tradisional.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kewangan dan Sumber Manusia, Datuk Ahmad Firdaus Baharuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed; dan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Mohamad Zahri Samingon.