KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memastikan anak kelahiran Sabah yang layak mengikuti pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberi peluang dipertimbangkan untuk menerima biasiswa khas sebagai usaha melahirkan lebih ramai doktor tempatan.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, langkah itu merupakan penyelesaian jangka panjang kerajaan negeri dalam menangani kekurangan doktor yang sedia berkhidmat di Sabah.
Beliau berkata, perkara itu turut menjadi pendirian Kabinet negeri berikutan ramai doktor dari Semenanjung Malaysia tidak bersedia untuk berkhidmat di Sabah atas sebab tertentu.
“Bagi saya, satu-satunya penyelesaian jangka panjang ialah memastikan lebih ramai doktor anak Sabah dilahirkan.
“Untuk mencapai matlamat itu, kita akan memastikan setiap anak Sabah yang layak mengikuti pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) layak dipertimbangkan untuk menerima biasiswa khas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan bagi institusi agama bukan Islam serta sekolah mubaligh, sekolah Cina dan sekolah persendirian di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai kekurangan doktor, Masidi berkata, antara cabaran dihadapi ialah doktor yang meninggalkan perkhidmatan kerajaan untuk menyertai sektor swasta atau membuka klinik sendiri.
Katanya, terdapat juga doktor yang memilih untuk tidak disahkan dalam jawatan selepas beberapa tahun berkhidmat, antaranya disebabkan faktor keluarga dan kesukaran meninggalkan pasangan serta anak-anak di negeri asal.