Tujuh daerah di Sabah terjejas gangguan elektrik

TAWAU: Gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku di tujuh daerah di Sabah hari ini, membabitkan Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kota Kinabatangan, Kunak, Beluran dan Telupid.

Sabah Electricity dalam kenyataan menerusi Sabah Electricity Careline memaklumkan gangguan itu membabitkan seluruh kawasan di daerah berkenaan, termasuk kawasan sekitar Lahad Datu.

Menurut kenyataan itu, pihaknya sedang mengenal pasti punca gangguan sebelum melaksanakan kerja pemulihan bekalan elektrik secara berperingkat.

“Sabah Electricity amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali,” menurut kenyataan itu.

Notis gangguan berkenaan dikeluarkan hari ini, 26 November, namun tiada tempoh khusus diberikan berhubung jangkaan bekalan elektrik pulih sepenuhnya.

Sabah Electricity turut memohon kerjasama dan kesabaran pengguna sepanjang proses pemulihan bekalan dilaksanakan.