RANAU: Laluan di Kampung Sagindai Lama, di sini, dibuka secara sehala dan boleh dilalui semua jenis kenderaan susulan kejadian kabel penghantaran elektrik tumbang di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Supt. Mursalin Mahmud dalam satu kenyataan berkata, pemantauan dan kawalan masih dilaksanakan oleh Bilik Gerakan dengan bantuan anggota Pondok Polis Paginatan serta pasukan Mobile Patrol Vehicle (MPV).
Beliau berkata, kawalan lalu lintas di lokasi turut dibantu MENTA dan lima anggota Polis Bantuan Sabah Electricity dari Kota Kinabalu.
Menurutnya, pihak Sabah Electricity(SE) sedang menjalankan usaha mengalihkan kabel yang tumbang bagi memastikan keadaan di kawasan terjejas dapat dipulihkan.
Setakat ini, keadaan lalu lintas dilaporkan bergerak lancar dan terkawal dengan hanya satu laluan dibuka untuk kegunaan semua jenis kenderaan.
Sehubungan itu, Mursalin menasihatkan masyarakat, khususnya pengguna jalan raya di daerah Ranau, supaya bersabar serta sentiasa mematuhi peraturan dan arahan pegawai yang bertugas di lapangan.

Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau sentiasa bersiap siaga bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.