KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengambil tindakan tegas berhubung insiden pergaduhan membabitkan beberapa murid di luar kawasan sekolah di Tawau yang tular di media sosial, baru-baru ini.
JPN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah bertindak segera dengan mengenal pasti murid yang terlibat selain menjalankan siasatan dalaman bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.
Menurutnya, kes berkenaan kini berada dalam siasatan pihak polis dan JPN Sabah memberikan kerjasama penuh bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar.
“JPN Sabah tidak akan berkompromi dengan insiden salah laku sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap murid yang didapati bersalah selaras dengan peruntukan serta garis panduan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
JPN Sabah turut menegaskan bahawa walaupun insiden berlaku di luar kawasan sekolah, sebarang bentuk salah laku yang melibatkan murid tetap dipandang serius kerana boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan murid serta mencemarkan imej institusi pendidikan.
Baru-baru ini satu rakaman video tular di aplikasi Whatsapp mengenai pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dan seorang lelaki di sebuah kawasan kedai di sini.
Menurut laporan Sinar Harian, lapan pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan tersebut yang dipercayai berpunca daripada penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang telah disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).