KOTA KINABALU : Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) menyasarkan 40 pingat emas sempena Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-22 dan 66 pingat emas bagi Para SUKMA Selangor 2026.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sasaran tersebut difikirkan realistik kerana kontinjen Sabah mempunyai rekod terbaik pada edisi lalu dan berazam agar impian tersebut dapat direalisasikan.
“SUKMA Sabah masih menumpukan usaha untuk kita merealisasikan impian memenangi 40 pingat emas kerana kita mempunyai rekod yang terbaik pada edisi ke-19 di Perak pada tahun 2018 apabila berjaya membawa pulang 33 pingat emas, 27 pingat perak, dan 46 pingat gangsa.
“Untuk Para SUKMA, kita menyasarkan 66 pingat emas yang pada saya adalah realistik dalam usaha kita untuk muncul juara keseluruhan dan kita juga mempunyai rekod terbaik ketika edisi Sarawak, tahun 2024 apabila kita berjaya membawa pulang 62 pingat emas, 42 pingat perak dan 32 pingat gangsa sekaligus muncul Naib Juara keseluruhan.
“Rekod terbaik Sabah yang pernah dicipta adalah menjadi juara keseluruhan Para SUKMA pada tahun 2022 di Kuala Lumpur, apabila kita berjaya membawa pulang 54 pingat emas, 36 pingat perak dan 35 pingat gangsa”, katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat akhir persiapan kontinjen Sabah menghadapi SUKMA dan Para SUKMA, di sini pada Selasa.
Jelasnya, kontinjen Sabah akan menyertai 36 jenis sukan daripada 37 sukan yang dipertandingkan SUKMA pada kali ini dan sebanyak sepuluh acara yang akan disertai untuk Para SUKMA Selangor.
Sebanyak 30 sukan wajib antaranya akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, bola jaring, bola keranjang, bola sepak, bola tampar, boling padang, gimnastik, golf, hoki, judo, karate-do, lawan pedang, memanah, menembak dan olahraga.
“Sepuluh acara Para SUKMA yang disertai pula adalah, para badminton, boccia, para boling padang, para catur, para memanah, para olahraga, para ping pong, powerlifting, para renang, dan para tenpin boling.
“Penyertaan SUKMA adalah Seramai 744 atlet terdiri daripada 385 atlet lelaki, 359 atlet wanita diiringi oleh 51 pengurus pasukan dan 148 jurulatih yang menjadikan jumlah keseluruhan kontinjen Sabah yang dihantar seramai 943 orang atlet dan pegawai manakala Para SUKMA pula seramai 271 orang pegawai dan atlet yang terdiri daripada 154 atlet, 117 pegawai,” ujarnya.
Nizam turut menzahirkan penghargaan buat Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas sokongan yang berterusan dan buat semua pihak yang bertungkus lumus dalam persiapan kontinjen Sabah yang akan bertanding pada kejohanan tersebut.
Beliau berharap, semua pegawai dan atlet dapat menunjukkan prestasi yang terbaik, disiplin, semangat juang tinggi, dan menjaga nama baik Sabah dan mencapai sasaran yang ditetapkan serta membawa pulang kejayaan buat negeri Sabah.
Hadir sama, Pembantu Menteri KBSK, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Syed Ahmad Syed Abas; Timbalan Setiausaha Tetap KBSK, Adnan Atin serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Nor.
Untuk rekod, SUKMA Ke-22 akan berlangsung pada 15 sehingga 24 Ogos 2026, manakala Para SUKMA berlangsung pada 5 sehingga 11 September 2026.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)