KOTA KINABALU: Seramai 44 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan serentak di Kota Kinabalu, Tawau dan Keningau kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi itu membabitkan Ops Ajar, Ops Gegar, Ops Selera, Ops Sapu, Ops Jaja dan Ops Kutip yang dijalankan di lokasi tumpuan warga asing.
Menurutnya, di Kota Kinabalu, seramai 13 individu diperiksa dan empat warga asing ditahan membabitkan seorang lelaki warga Itali serta tiga wanita warga China kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan melanggar syarat pas.
“Di Tawau pula, seramai 97 individu diperiksa dengan 34 warga asing ditahan. Mereka terdiri daripada 14 warga Filipina iaitu 13 lelaki dan seorang wanita dewasa, selain 20 warga Indonesia membabitkan 11 lelaki, lima wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
“Di Keningau, operasi yang dijalankan memeriksa 69 individu sebelum menahan enam warga asing terdiri daripada empat warga Filipina iaitu dua lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, serta dua wanita warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, semua tahanan dibawa ke depot imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara.
Beliau turut mengingatkan majikan dan orang ramai supaya tidak melindungi atau menggaji warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.