Sarawak, Sabah kekal ‘kingmaker’, peranan dalam politik negara sukar diganti – Abdul Karim

KUCHING: Sarawak dan Sabah dijangka terus memainkan peranan penting sebagai ‘kingmaker’ dalam pembentukan kerajaan Persekutuan, meskipun timbul spekulasi bahawa landskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang mungkin berubah.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, adalah tidak tepat untuk menganggap kedua-dua negeri di Borneo itu tidak lagi mempunyai pengaruh besar dalam menentukan hala tuju politik negara.

Menurutnya, kedudukan Sarawak dan Sabah bukan sahaja penting dari sudut bilangan kerusi Parlimen, malah kedua-dua negeri turut memiliki kepentingan strategik termasuk kekayaan sumber asli negara.

“Dalam politik, saya tidak fikir kita boleh mengatakan Sarawak dan Sabah tidak lagi memainkan peranan penting di peringkat nasional.

“Ketika ini kita bersama Kerajaan Perpaduan kerana mahu melihat kestabilan politik negara terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng yang berpendapat gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi membentuk kerajaan Persekutuan tanpa lagi bergantung kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai penentu.

Mengulas perkara itu, Abdul Karim berkata, walaupun wujud kemungkinan sesebuah gabungan di Semenanjung memperoleh majoriti sendiri, kepentingan Sarawak dan Sabah tidak boleh dipandang ringan.

“Soalnya, adakah parti-parti politik di Semenanjung sanggup mengambil risiko untuk tidak bekerjasama dengan Sarawak dan Sabah? Beranikah mereka?” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Karim mengingatkan semua wakil rakyat supaya bersedia menerima keputusan parti sekiranya tidak lagi dicalonkan pada pilihan raya negeri akan datang.

Katanya, pemimpin perlu berlapang dada memberi ruang kepada generasi baharu demi kesinambungan perjuangan parti.

“Apabila tiba masanya untuk berundur, kita perlu berundur. Jangan ada sikap enggan melepaskan jawatan atau bertanding menentang parti hanya kerana tidak dicalonkan,” katanya.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Abdul Karim menyifatkan ia sebagai “rahsia terbuka” bahawa pilihan raya itu dijangka berlangsung tahun ini.

Menurutnya, meskipun tempoh matang Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya berakhir berdasarkan persidangan pertama pada Februari 2022, adalah tidak bijak untuk menunggu sehingga DUN terbubar secara automatik.

“Empat bulan dalam politik adalah tempoh yang sangat singkat. Saya percaya pilihan raya akan diadakan lebih awal kerana menunggu sehingga tamat penggal penuh terlalu berisiko,” katanya.