KOTA KINABALU, 4 Ogos 2026: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menyeru semua pengetua sekolah menengah di Sabah agar menyokong pelaksanaan program Kebun Sekolah bagi memperkukuh pendidikan berkaitan keterjaminan makanan, keselamatan makanan serta memupuk minat pelajar terhadap aktiviti pertanian.
Beliau berkata, kementeriannya bercadang memperkasakan inisiatif itu mulai tahun depan menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bagi meningkatkan kesedaran murid mengenai kepentingan bercucuk tanam dan pengeluaran makanan yang selamat.
“Saya memohon kerjasama antara kementerian kami, Kementerian Pendidikan dan persatuan pengetua untuk memperkasakan program berkaitan keterjaminan makanan, keselamatan makanan serta kesediaan menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan, khususnya dalam keadaan dunia yang tidak menentu,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Negeri Sabah dan Persatuan Pengetua Wilayah Persekutuan Labuan Di Hotel Klagan, One Borneo malam tadi.
Jamawi berkata, pengetua sekolah juga digalakkan mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi di bawah kementeriannya seperti Pejabat Pertanian Daerah, Pejabat Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Daerah dan Pejabat Korporasi Pembangunan Desa (KPD) bagi membantu pelaksanaan program tersebut.
Menurutnya, walaupun kementerian tidak boleh melaksanakan program secara terus di sekolah berikutan prosedur operasi standard (SOP) serta kekangan menyalurkan peruntukan kepada sekolah, pihaknya bersedia memberikan bantuan teknikal, khidmat nasihat dan keperluan lain sekiranya program itu dilaksanakan melalui Kementerian Pendidikan.
Sebagai simbolik hasrat menjalin kerjasama, beliau berkata, pegawai kementeriannya akan menyampaikan tiga anak pokok buah-buahan kepada setiap sekolah yang diwakili pengetua pada konvensyen berkenaan.
“Ini sebagai tanda permulaan kerjasama kami dengan pihak sekolah. Saya harap pengetua dapat membawa pulang anak pokok ini dan menguar-uarkan kepada warga sekolah bahawa kita mahu menghidupkan semula budaya berkebun di sekolah,” katanya.
Jamawi berkata, kebanyakan sekolah mempunyai kawasan yang sesuai serta pekerja kebun yang boleh membantu menguruskan tanaman yang berpotensi memberi pulangan kepada sekolah.
Beliau berkata, pengalaman di enam sekolah angkatnya di Tenom membuktikan projek tanaman buah-buahan mampu menjana pendapatan.
Katanya, Sekolah Menengah Chung Hwa Tenom kini mempunyai kira-kira 800 pokok avokado yang sudah mula mengeluarkan hasil, dengan setiap pokok mampu menjana pendapatan sekitar RM300 pada peringkat permulaan.
“Bayangkan jika ada 100 atau 200 pokok, hasilnya boleh menjadi tabung sekolah,” katanya.
Beliau berkata, sebuah lagi sekolah angkatnya, Sekolah Menengah Tsung Tsin Tenom, turut mengusahakan kira-kira 500 pokok durian dan avokado.
Sehubungan itu, Jamawi berharap lebih banyak sekolah yang mempunyai tanah terbiar atau kawasan lapang dapat menyertai inisiatif tersebut pada masa depan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan program itu perlu diselaraskan menerusi satu pekeliling bersama JPNS bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan semua sekolah mengikut garis panduan yang sama.
“Saya tidak mahu pelaksanaan dibuat secara tidak tersusun sehingga menimbulkan kekeliruan di sekolah. Biarlah tahun depan kita laksanakan bersama-sama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah secara lebih teratur,” katanya.
Jamawi turut memberikan penghargaan kepada Pengarah Pendidikan Sabah dan para mantan Pengetua yang telah bersara, kerana hadir dalam Persidangan tema persidangan pada tahun ini bertemakan “Pengetua Pemacu Lonjakan Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2031”.
Hadir sama ialah mantan Pengarah Pendidikan JPNS, Datuk Haji Raisin Saidin yang telah bersara pada Julai lalu, Ajmal Haji Jumah, Presiden PPSMS; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPNS, Krishna K.S ; Yang Di-Pertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan, Ismail Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Konvensyen, Haji Ahmud Haji Saribin.