Sabah sasar 40 emas SUKMA, 66 emas Para SUKMA

KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah meletakkan sasaran membawa pulang 40 pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, manakala kontinjen Para SUKMA mensasarkan 66 pingat emas dengan tekad merampas semula gelaran juara keseluruhan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sasaran itu mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap tahap persediaan atlet, keupayaan jurulatih serta sistem pembangunan sukan yang dilaksanakan secara berterusan di Sabah.

“Bagi SUKMA Selangor, kita menetapkan sasaran 40 pingat emas.

“Saya mahu setiap atlet percaya bahawa sasaran ini mampu dicapai.

“Kita mempunyai bakat, pengalaman dan semangat yang diperlukan, yang penting, kita turun bertanding dengan keberanian, fokus dan tekad untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sabah ke Temasya SUKMA dan Para SUKMA Selangor tahun ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, bagi Para SUKMA pula, Sabah bukan sahaja mensasarkan kutipan 66 pingat emas, malah bertekad kembali muncul sebagai juara keseluruhan.

“Kontinjen SUKMA Sabah kali ini terdiri daripada 943 anggota, membabitkan 744 atlet, 148 jurulatih dan 51 pengurus pasukan yang akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan dipertandingkan,” jelasnya.

Sementara itu, kontinjen Para SUKMA diwakili 271 anggota, termasuk 154 atlet, selain jurulatih, pegawai dan urus setia.

Beliau berharap sekurang-kurangnya 80 peratus atlet Sabah mampu membawa pulang pingat, sekali gus mengharumkan nama negeri di pentas sukan kebangsaan.

Hajiji (tengah) bergambar kenangan bersama semua atlet yang mewakili Sabah pada temasya sukan SUKMA dan Para SUKMA, di sini.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan kerajaan negeri akan meneruskan kadar insentif kemenangan yang diperkenalkan pada SUKMA Sarawak sebelum ini, termasuk mengekalkan ganjaran RM10,000 bagi pemenang pingat emas.

“Saya menyeru semua kontinjen Sabah supaya melangkah ke Selangor dengan satu hati, satu semangat dan satu matlamat.

“Berjuanglah habis-habisan, buru setiap peluang dan buktikan bahawa Sabah mampu berdiri bersama negeri-negeri terbaik dalam arena sukan tanah air,” ujarnya.

Hajiji turut mengingatkan semua atlet supaya mengekalkan disiplin sepanjang temasya berlangsung serta berhati-hati dalam pengambilan makanan tambahan atau suplemen bagi mengelakkan penggunaan bahan terlarang yang boleh menjejaskan kelayakan bertanding.

Beliau turut menggesa pegawai kontinjen supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan atlet agar mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pertandingan.

Mengimbas pencapaian lalu, Hajiji berkata Sabah membawa pulang 29 pingat emas, 36 perak dan 55 gangsa pada temasya SUKMA di Sarawak tahun 2024 yang menjadi asas kepada sasaran lebih tinggi pada edisi kali ini.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru seluruh kontinjen Sabah membawa semangat “Go For Gold” sebagai azimat untuk mengharumkan nama negeri di pentas SUKMA dan Para SUKMA Selangor.