Myvi bertembung Proton Saga di Kinabatangan, dua pemandu selamat

KINABATANGAN: Dua pemandu terselamat tanpa mengalami kecederaan serius selepas kenderaan yang dipandu mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kertam, di sini, petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.52 petang itu, kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dan Proton Saga.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kira-kira 10 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.08 petang.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Perodua Myvi yang membuat pusingan U dari arah Kampung Sungai Rotan menuju Kertam bertembung dengan sebuah Proton Saga yang datang dari arah Batu 32 Check Point menuju Kampung Usahajaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akibat pelanggaran tersebut, bahagian hadapan Proton Saga dilaporkan mengalami kebakaran kecil.

Bagaimanapun, kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

Pemandu Perodua Myvi, seorang lelaki warga Indonesia, dan pemandu Proton Saga berusia 72 tahun dilaporkan selamat tanpa mengalami kecederaan serius.

Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.40 petang.