KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Generasi Muda UPKO Pusat, Allison Chan menggesa Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) mengkaji semula caj RM60 bagi permohonan sijil fizikal Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dengan mengambil kira kemampuan kewangan majoriti calon yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.
Beliau berkata, sijil STPM ialah dokumen akademik rasmi yang penting untuk urusan melanjutkan pengajian, permohonan biasiswa, pekerjaan serta pelbagai urusan pentadbiran.
“Saya menyokong usaha pendigitalan dokumen akademik kerana ia boleh meningkatkan kecekapan dan memudahkan urusan pelajar.
“Namun begitu, pendigitalan seharusnya mengurangkan beban pentadbiran dan kos, bukannya menyebabkan pelajar menanggung kos tambahan untuk mendapatkan dokumen fizikal yang masih diperlukan dalam keadaan tertentu.
“Menurut data rasmi MPM, seramai 31,569 daripada 41,548 calon STPM 2023 atau 75.98 peratus merupakan calon daripada kategori B40.
“STPM merupakan antara laluan utama pendidikan tinggi bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, justeru sebarang dasar atau caj berkaitan perlu mengambil kira aspek kemampuan sosioekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain menggesa kadar caj itu dikaji semula, Allison turut menekankan bahawa sekiranya bayaran terus dikenakan, MPM perlu memastikan sijil fizikal dicetak, dibungkus dan dihantar mengikut standard kualiti yang tinggi.
Beliau berkata, pelajar yang menerima sijil dalam keadaan rosak akibat proses penghantaran juga wajar diberi mekanisme penggantian tanpa dikenakan caj tambahan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kewujudan e-Sijil tidak semestinya menghapuskan keperluan terhadap sijil fizikal kerana masih terdapat institusi pengajian, majikan dan agensi yang memerlukan dokumen asal atau salinan fizikal bagi tujuan permohonan.
Allison berharap MPM dapat memberikan penjelasan mengenai asas pengenaan caj RM60 serta memastikan pelaksanaan sistem baharu itu benar-benar mengurangkan beban pelajar, selaras dengan matlamat meningkatkan akses pendidikan yang adil dan inklusif.