RANAU: Seorang individu didenda RM10,000 oleh Mahkamah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membabitkan penyalahgunaan akaun bank miliknya yang digunakan dalam transaksi penipuan, selepas menyewakan akaun berkenaan dengan bayaran hanya RM150.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud, berkata mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Beliau berkata, tertuduh didapati secara tidak langsung terbabit dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM28,000 ke dalam akaun bank miliknya tanpa maksud yang sah di daerah ini pada 27 Februari lalu.
“Kes didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM150,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada individu yang mendakwa mempunyai tunggakan bil elektrik sebelum talian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Beliau berkata, mangsa kemudian diperdaya dengan dakwaan bahawa namanya dikaitkan dengan kegiatan pengubahan wang haram sebelum diarahkan memindahkan wang RM28,000 ke akaun bank yang diberikan kononnya bagi membantu siasatan.
“Mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas transaksi selesai dilakukan sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Susulan laporan itu, katanya, polis berjaya mengesan dan menahan tertuduh di Penampang selepas mendapati akaun bank yang menerima wang berkenaan adalah miliknya.
“Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku menyerahkan akaun bank berserta kad ATM miliknya kepada seorang individu yang dikenalinya dengan bayaran RM150,” katanya
“Tertuduh juga tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyekat atau menutup akaun itu walaupun mengetahui maklumat akaun berkenaan telah diserahkan kepada pihak lain dan berisiko disalahgunakan bagi tujuan jenayah,” katanya.
Mursalin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyewakan, menjual atau menyerahkan akaun bank, kad ATM serta maklumat perbankan kepada mana-mana individu.
“Pemilik akaun boleh dipertanggungjawabkan di sisi undang-undang sekiranya akaun mereka digunakan sebagai medium dalam kegiatan jenayah, termasuk penipuan dan jenayah kewangan,” katanya.