RANAU: Pondok Polis Komuniti (PPK) dan kemudahan helipad dirancang diwujudkan di Ulu Sugut, di sini bagi memperkukuh tahap keselamatan penduduk selain memudahkan pergerakan operasi pihak berkuasa.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, PDRM Sabah kini dalam proses mengenal pasti tanah yang sesuai untuk membangunkan kemudahan berkenaan.
Menurutnya, kawasan dicadangkan itu akan dipilih dengan mengambil kira keperluan jangka panjang, termasuk kemungkinan menaik taraf PPK berkenaan menjadi sebuah balai polis.
“Buat masa sekarang, PDRM Sabah sedang merancang untuk mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah PPK di kawasan Ulu Sugut.
“Kita sedang dalam proses mencari tanah yang sesuai sebelum permohonan tanah dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Pejabat Daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Balai Polis Ranau, di sini hari ini.
Jauteh berkata, jarak Ulu Sugut yang kira-kira 70 kilometer dari pusat daerah Ranau turut menjadi antara faktor keperluan mewujudkan kemudahan polis di kawasan itu.
Katanya, PDRM turut merancang membina helipad berikutan kedudukan Ulu Sugut yang strategik sebagai laluan udara antara Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah.
“Kita mahu mengambil kawasan yang sedikit luas supaya dalam jangka masa panjang ia boleh dijadikan balai polis.
“Kalau kita wujud di tempat itu, kita juga akan wujudkan satu helipad,” katanya.
Menurutnya, sekurang-kurangnya lima ekar tanah diperlukan bagi menempatkan kemudahan berkenaan termasuk keperluan logistik dan helipad.
Beliau berkata, perbincangan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau dan pemimpin masyarakat setempat sudah diadakan bagi mengenal pasti lokasi bersesuaian.
Sementara itu, Jauteh berkata, Balai Polis Ranau menerima lebih 3,000 laporan polis setakat tahun ini dengan purata kira-kira 80 laporan setiap bulan.
Katanya, kedudukan Ranau sebagai kawasan persinggahan pengguna jalan raya selain menjadi tumpuan pelancong menjadikan aspek keselamatan antara perkara penting yang perlu diberi perhatian.
“Ranau berada di lokasi yang menjadi persinggahan pengguna jalan raya. Mereka memerlukan satu tempat yang mereka rasa selamat dan aman.
“Dalam masa sama, Gunung Kinabalu terletak di sini dan ramai pelancong datang ke Sabah. Salah satu perkara yang mereka pertimbangkan adalah isu keselamatan,” katanya.
Menurutnya, kewujudan Balai Polis Ranau dan Balai Polis Kundasang berhampiran kawasan Gunung Kinabalu turut memberi keyakinan kepada pelancong, termasuk dari luar negara.
Dalam perkembangan lain, Jauteh berkata, kadar kemalangan jalan raya di Sabah menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, penggunaan alat komunikasi ketika memandu antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan.
“Rondaan demi rondaan kita buat. Kita juga membuat beberapa kempen di peringkat daerah.
“Kalau setiap minggu kadar kemalangan dari tahun lepas sampai sekarang masih sekitar empat hingga lima kes, bermakna kita berjaya mengekalkan situasi itu, tetapi belum berjaya mengurangkan atau menurunkan kadar kematian akibat kemalangan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.