Sabah angkat isu peralatan perubatan usang dalam perbincangan MA63 – Julita

KOTA KINABALU: Keperluan menggantikan peralatan perubatan yang sudah usang di Sabah antara perkara penting yang telah dibawa ke perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.

Beliau berkata, walaupun bidang kesihatan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri turut memainkan peranan dalam memastikan perkara berkaitan kesihatan Sabah diberi keutamaan.

“Seperti kita tahu, bidang kesihatan sememangnya merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Namun, tanggungjawab kita di peringkat negeri adalah untuk membuat penyelarasan bersama supaya perkara-perkara yang kita fikir penting dan perlu diberi keutamaan dapat dibawa ke perhatian Kerajaan Persekutuan.

“Setakat ini, penglibatan dan perbincangan kita sejak awal tahun sehingga yang terbaharu, termasuk yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri turut menyentuh mengenai keperluan peralatan perubatan yang agak usang di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Vascular Awareness Campaign Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) di Kota Kinabalu, hari ini.

Julita berkata, isu kesihatan Sabah turut menjadi sebahagian daripada perbincangan di bawah mekanisme pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain beberapa perkara lain yang sedang diusahakan untuk diselesaikan melalui bidang kuasa teknikal.

“Khusus dalam bidang kesihatan, isu ini juga termasuk dalam perbincangan kita di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63,” katanya.

Menurut Julita, kebanyakan isu berkaitan kesihatan Sabah diyakini boleh diselesaikan menerusi bidang kuasa teknikal yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Keperluan-keperluan kita itu bukan tidak diketahui, tetapi kita sedang dalam proses untuk memastikan supaya keutamaan yang kita telah utarakan itu dapat diambil tindakan,” ujar beliau lagi.

Katanya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan keperluan rakyat Sabah, termasuk dari aspek kemudahan dan peralatan perubatan, dapat ditangani secara berperingkat.

Dalam pada itu, Julita turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen doktor tempatan Sabah yang terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

Tambah beliau, kewujudan pasukan perubatan tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, termasuk pembedahan vaskular, memberi manfaat kepada usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Sabah.

“Kita mempunyai kumpulan doktor yang komited, doktor Sabahan tempatan yang sedang bekerja keras untuk meningkatkan layanan kesihatan di Sabah,” tambahnya.