KUDAT: “Alangkah baiknya Kudat dan Kota Marudu bersama-sama biru dengan saya.”
Demikian gambaran Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kemungkinan dua beradik, Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda dan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda, bersama BN.
Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan sememangnya mempunyai latar belakang yang dekat dengan BN sejak dahulu.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu akan diserahkan kepada Pengerusi BN Sabah untuk dirundingkan sebelum dibawa ke peringkat Pusat.
“Kedua-dua adik-beradik ini memang mereka biru dari dulu.
“Jadi, untuk perinciannya, saya akan memberikan kepercayaan kepada Pengerusi BN Sabah untuk merundingkan dan jika ini telah diputuskan, maka saya sebagai Pengerusi BN di peringkat Pusat tentunya akan melakukan keabsahan setelah saya bawa ke Dewan Tertinggi BN di peringkat Pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Kebudayaan Rungus di Kudat pada Sabtu.
Ahmad Zahid berkata, proses rundingan di peringkat BN Sabah perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan rasmi dapat dibuat oleh kepemimpinan BN di peringkat Pusat.
Kenyataan itu sekali gus memberi gambaran bahawa BN terbuka untuk menerima Wetrom dan Verdon, yang masing-masing mewakili kawasan Parlimen Kota Marudu dan Kudat, sekiranya rundingan mencapai persetujuan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan penyatuan Kudat dan Kota Marudu di bawah BN sebagai sesuatu yang baik bagi memperkukuh kekuatan politik parti itu di kawasan berkenaan.
“Alangkah baiknya Kudat dan Kota Marudu bersama-sama biru dengan saya,” katanya.