UPKO desak perjanjian Petronas 1976 disemak semula

KOTA KINABALU: UPKO akan mendesak supaya Perjanjian Petronas 1976 yang menetapkan bayaran royalti minyak lima peratus kepada Sabah disemak semula sekiranya benar perjanjian berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah atau mendapat persetujuan Kerajaan Negeri.

Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, berkata perkara itu perlu diberi perhatian serius susulan pendedahan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, bahawa perjanjian berkenaan tidak pernah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh, yang memberi gambaran bahawa urusan minyak dan gas merupakan bidang kuasa Persekutuan dan tidak perlu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah hanya kerana Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah diluluskan Parlimen.

“Saya dan UPKO tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.

“Pendirian kita, mana-mana perkara yang memberi kesan besar kepada Sabah harus mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah.

“Oleh sebab itu, UPKO akan mendesak supaya Perjanjian Petronas mesti disemak semula,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di sini, pada Isnin.

Ewon berkata, pendirian itu selaras dengan usaha UPKO memperkukuh hak dan kepentingan Sabah berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perjanjian Petronas 1976 yang memberi Sabah hanya 5% royalti minyak, tidak pernah dibentangkan dalam mesyuarat kabinet.

“Kalau betullah ia tidak pernah dibincang dalam mesyuarat Kabinet ataupun tidak pernah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah, sebab itu UPKO akan mendesak supaya perjanjian Petronas mesti disemak semula,” ujar beliau.

Menurutnya, UPKO turut menegaskan bahawa mana-mana undang-undang Persekutuan yang memberi implikasi besar kepada Sabah perlu terlebih dahulu mendapatkan persetujuan Kerajaan Sabah sebelum dibentangkan di Parlimen.

Katanya, perkara itu antara resolusi penting yang akan dibahaskan perwakilan UPKO dalam persidangan hari ini, sebelum dibawa kepada Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ewon turut menambah bahawa enam usul utama akan dibentang pada persidangan berkenaan yang meliputi tentang pindaan perlembagaan parti untuk menambah baik tadbir urus dan institusi UPKO.