SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 11.06 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai lebih RM550,000 dalam operasi di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum, di sini awal pagi semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi kira-kira jam 1.45 pagi itu dijalankan susulan maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.
Menurutnya, pasukan operasi mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menghampirinya.
“Ketika cuba dihampiri, seorang lelaki yang berada di atas bot terbabit bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan.
“Usaha mengesan suspek kemudian dijalankan namun gagal menemuinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Amri berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan itu menemukan 11 bungkusan mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 11.06kg.
“Nilai dadah yang dirampas dianggarkan lebih RM550,000, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot bernilai lebih RM578,000,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Bagi tahun 2026, PPM Wilayah 4 Sabah telah merekodkan 15 kes di bawah akta berkenaan membabitkan 24 tangkapan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan melebihi RM718,000.
“PPM W4 Sabah akan terus memperhebatkan risikan dan rondaan secara bersepadu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah bagi membanteras kegiatan pengedaran serta penyeludupan dadah yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.